Contoh Copywriting Terbaik: Contoh Inspirasi Copywriting Terbaik Dari Perodua Myvi | Monocal
Jika anda seorang warnanegara Malaysia, anda sudah pasti kenal akan Perodua Myvi, bukan?
Perodua Myvi merupakan salah satu model kereta yang paling ikonik yang pernah dikeluarkan di Malaysia.
Kereta yang mula dikeluarkan pada tahun 2005 ini sangat laris, dan menjadi kereta terlaris di Malaysia untuk 12 daripada 15 tahun sejak tahun 2006.
Kepopularan Myvi dikalangan rakyat Malaysia sangat jelas, dan gelaran seperti ‘King of The Road’. Pelbagai meme berkaitan Myvi dijadikan jenaka oleh warganet Malaysia.
Kami disini tidak akan bercerita mengapa Myvi boleh menjadi kereta paling laris. Tetapi kami akan mengulas beberapa iklan yang dikeluarkan Perodua yang kami temui.
Dari sini, kami akan lihat sama ada Myvi itu sendiri yang mempunyai kekuatan produk untuk bertahan di Malaysia selama 15 tahun ataupun kehebatan pemasaran Perodua dalam menjadikannya produk kegemaran ramai.
1. Risalah Iklan Perodua Myvi 2010 Limited Edition
Risalah-risalah Perodua Myvi Limited Edition 2010 diatas memfokuskan kepada golongan perempuan muda seperti pelajar universiti dan golongan yang baru bekerja.
Dengan headline yang berunsur ekspresif seperti “Show Your True Colour”, Perodua ingin menunjukkan bahawa produk mereka sesuai untuk golongan ini yang berani meluahkan pendapat dan tidak takut akan cabaran.
Terdapat kemungkinan bahawa ditahun 2010, ini merupakan satu contoh copywriting terbaik yang boleh kita lihat.
Warna Myvi yang ditawarkan dalam rona merah jambu keungguan juga berbeza dengan keluaran-keluaran sebelum itu.
Rekaan risalah yang menggunakan font yang berkonsepkan remaja, selari dengan sasaran pengguna Myvi ini.
Perodua tidak perlu menggunakan copywriting berbentuk storytelling kepada golongan ini.
Penawaran produk dengan headline yang menarik golongan ini cukup untuk menarik minat golongan remaja untuk memiliki Myvi keluaran ini.
Kami tidak pasti sama ada edisi Myvi rona merah jambu ini laris dipasaran atau tidak.
Walau bagaimanapun, ini merupakan kali terakhir Perodua mengeluarkan produk dengan edisi berkonsepkan remaja seperti ini.
Seperti yang anda akan lihat didalam iklan-iklan Myvi yang seterusnya, keseluruhan konsep dan copywriting iklan menggunakan sasaran yang lebih luas dan universal dalam kempen pemasaran mereka, serta tidak memfokuskan kumpulan kecil didalam pasaran.
2. Iklan Perodua Myvi 2016
Iklan Myvi untuk edisi tahun 2016 ini memfokuskan pencapaian Myvi setelah 10 tahun didalam pasaran. Ketika ini, Myvi tidak menjadi kereta yang paling laris dipasaran Malaysia pada tahun 2015 hingga 2017, kerana diambilalih takhtanya oleh produk dari Perodua juga, iaitu Axia.
Walaupun begitu, Myvi tetap unggul dan menjadi kerata terlaris di Malaysia untuk 9 tahun berturut-turut, dari 2006 hingga 2014.
Iklan ini bertemakan pencapaian tersebut dan memfokuskan Myvi sebagai ikon Malaysia.
Dengan headline “A True Malaysian Icon”, Perodua menggunakan prestij Myvi ketika ini untuk tujuan pemasaran.
Perodua tidak perlu menggunakan copywriting yang berlebihan, kerana pada ketika ini, Myvi sudah dikenali oleh hampir kesemua rakyat Malaysia.
Perodua hanya meletakkan Myvi sebagai ikon Malaysia yang tidak boleh disangkal lagi sebagai ‘angle copywriting‘ untuk iklan edisi 2016 ini.
[INSERT_ELEMENTOR id=”29732″]3. Iklan Perodua Myvi 2018
Pada edisi 2018, Perodua Myvi menggunakan headline “The Icon Evolved”.
Headline ini selari apabila Myvi melakukan perubahan radikal pada rekaan kereta dan mirip kepada model-model kereta import yang popular ketika itu seperti Honda Jazz, Kia Rio dan Volkswagen Polo.
Tagline “Passion Engineered” juga digunakan kerana rekaan Myvi ketika ini adalah 100% hasil tempatan dan bukan lagi model saduran Toyota Passo seperti model-model Myvi yang terdahulu.
Seperti kebiasaan mengikuti pendekatan yang sama seperti model-model Myvi terdahulu, iklan Myvi 2018 ini tidak menggunakan copywriting yang panjang.
Salah satu kemungkinan mengapa Myvi menggunakan copywriting pendek adalah untuk kesesuaian medium pengiklanan yang digunakan untuk pemasaran.
Akan tetapi, Myvi merupakan produk yang sudah dikenali ramai, dan tidak memerlukan banyak penerangan mengenai fungsinya.
4. Iklan Perodua Myvi Gear Up 2018
Perodua memperkenalkan siri aksesori Gear Up untuk model Myvi pada tahun 2018.
Siri aksesori Gear Up ini mula diperkenalkan pada 2015 untuk model Axia, dan diteruskan untuk model Myvi pada tahun 2018.
Iklan siri aksesori Gear Up ini menggunakan pendekatan mudah.
Iklan ini menunjukkan rupa Myvi yang dilengkapi aksesori-aksesori yang ditawarkan seperti warna krom untuk gril hadapan, lampu sisi, skirt tepi, tingkap, bumper dan skirt belakang.
Penggunaan kapsyen ‘Gear Up, Perodua Originals’ dan juga ‘Iconic Style Evolved’ menguatkan keseluruhan mesej iklan ini.
Menurut Copyhacker, kapsyen dibaca 300% lebih banyak berbanding body copy. Oleh itu, penggunaan headline selari dengan kapsyen lebih berkesan untuk iklan dengan format begini.
5. Iklan Perodua Myvi 2018 Baby Shark
Perodua juga tidak ketinggalan dalam menggunakan trend dalam kempen pemasaran mereka.
Mereka juga ada mengeluarkan iklan Perodua Myvi menggunakan trend “Baby Shark”yang meletup pada tahun 2018.
Dengan mengambil antena radio yang berbentuk seperti sirip ikan yu, Perodua menggunakan copywriting “Baby Shark! Doo Doo Doo Doo Doo Doo!” dalam iklan mereka.
Menurut Hubspot, 92% daripada marketers menganggap media sosial penting dalam bisnes.
Sejauh mana iklan untuk media sosial ini memberi kesan terhadap kempen mereka, kami tidak dapat kenalpasti.
6. Iklan Perodua Myvi 2018 100,000 Unit
Perodua juga mengambil peluang sempena berjaya mengeluarkan 100,000 unit Myvi selepas 13 tahun berada dipasaran Malaysia.
Dengan menggunakan headline “100,000 Myvi Baharu Telah Dimiliki” sebagai copywriting utamanya, mesej iklan ini bertujuan untuk memfokuskan bahawa Myvi sememangnya menjadi pilihan rakyat Malaysia sebagai kereta pilihan mereka.
Menggunakan imej kontena yang mengangkat Myvi dalam pelbagai warna, menyerlahkan lagi impak bahawa sememangnya Myvi mempunyai pelbagai pilihan warna.
Sukar untuk pengeluar kereta mengeluarkan pelbagai pilihan warna di zaman moden kini. Tetapi tidak untuk Perodua.
Dengan mempunyai pengaruh dalam pasaran, mereka mampu membuat sesuatu yang berbeza berbanding pengeluar lain.
7. Iklan Perodua Myvi 2021
Iklan untuk model Myvi terbaru dari Perodua pada tahun 2021 mempunyai sasaran berfokus berbanding iklan-iklan mereka sebelum ini.
Dengan penggunakan headline “The Next Standard” sebagai copywriting utama, mereka memahami prospek utama pembeli Myvi adalah dikalangan golongan muda.
Kami pernah sentuh tentang kepentingan menulis headline yang bagus sebagai tips utama dalam menghasilkan copywriting yang berkesan.
Ciri-ciri yang digemari golongan muda seperti bantuan pemanduan (drive assist), parking assist, daytime running light dengan rekaan yang ikonik, menjadikan Myvi sebagai pilihan utama golongan ini.
Perodua memfokuskan ciri-ciri ini sebagai standard baru untuk Myvi keluaran mereka, sekaligus selari dengan headline copywriting “The Next Standard” yang mereka gunakan didalam iklan ini.
Penutup
Dengan pelbagai contoh copywriting yang dihasilkan oleh Perodua sepanjang dekad 2010-an yang anda boleh lihat diatas, kita boleh simpulkan bahawa Perodua sentiasa mencuba pelbagai angle copywriting yang berbeza dalam setiap kempen untuk Perodua Myvi yang mereka lakukan.
Walaupun secara hakikatnya Perodua Myvi tidak mengalami perubahan ketara sejak 10 tahun lepas, permintaan pasaran dan kehendak pengguna sering berubah saban tahun.
Sangat penting untuk pemilik bisnes untuk sentiasa mencuba perkara baharu dalam kempen pemasaran, untuk memastikan produk mereka kekal relevan dimata pengguna.
Kami berpendapat Perodua merupakan satu contoh terbaik, dengan rekod jualan tahun demi tahun yang membuktikan pelbagai elemen dalam kempen pemasaran mereka, termasuk copywriting, adalah antara yang terbaik yang anda boleh jadikan inspirasi.
[INSERT_ELEMENTOR id=”29732″]