featured image apa itu NAP

Apa Itu NAP Dalam Bisnes? Local SEO? Penting Ke?

Anda tak ada bajet nak buat bajet marketing untuk kedai anda?

Atau pun anda pernah nampak komen “orang tak nampak kedai anda”?

Sebelum anda pergi berubat atau anda belanjakan beribu-ribu Ringgit untuk buat marketing untuk tarik orang datang ke kedai anda, jom baca perkongsian kami berkaitan NAP.

SANGAT RAMAI peniaga yang terlepas pandang mengenai perkara ini, walaupun NAP ini PERCUMA DAN PENTING nak dibuat.

Apa Itu NAP

NAP adalah akronim kepada singkatan nama, alamat, nombor telefon (name, address, phone number). Nama, alamat dan nombor telefon perniagaan anda, tak kira kecil atau besar, harus seragam didalam setiap platform dan aset internet yang anda gunakan didalam perniagaan anda.

Konsep yang nak ditekankan didalam NAP adalah KESERAGAMAN INFORMASI. Dimana-mana anda letak nama bisnes anda, nama tersebut mestilah SAMA EJAAN tanpa ada sikit perubahan pun.

Bagaimana NAP Berfungsi

NAP ini berfungsi untuk memberi maklumat kepada tiga pihak:

  1. Enjin carian.
  2. Bakal pelanggan.
  3. Pelanggan berulang (repeat customer).

NAP Untuk Enjin Carian

Enjin carian seperti Google, Bing, YouTube dan Facebook akan mengimbas (scan, crawl) seluruh internet untuk mencari persamaan antara informasi.

Jika anda menggunakan nama, alamat dan nombor telefon yang sama, enjin carian akan lebih mudah ‘mengesan’ bisnes anda berdasarkan konteks apa yang anda tawarkan.

Anda harus sedar, jika anda adalah satu perniagaan kecil, anda tidak mempunya kekuatan jenama yang kuat, kecuali mereka yang mengenali anda.

Anda mahu bisnes anda ‘dikaitkan’ dengan servis yang anda tawarkan, kerana bakal pelanggan anda tidak tahu nama anda dan bisnes anda.

NAP Untuk Pelanggan

Apabila seseorang mahu mencari maklumat mengenai produk atau servis, secara asasnya mereka mahu mencari:

  1. Siapa yang menawarkan produk atau servis yang mereka mahukan.
  2. Bisnes yang dipercayai oleh ramai orang.
  3. Bisnes yang mudah dihubungi, dan dicapai, mudah untuk mendapatkan produk atau servis tersebut.
  4. Bisnes yang lokasinya dekat dengan pelanggan.
  5. Maklumat yang (hampir) lengkap mengenai produk atau servis yang bisnes tersebut tawarkan.

Anda sebagai pemilik bisnes, mahu memenuhi semua ciri-ciri diatas untuk mendapatkan jualan.

Bisnes yang memenuhi ciri-ciri diatas, mampu dan mudah untuk dapatkan jualan yang berterusan, tidak kira sama ada produk atau servis anda mahal atau murah.

Dekat Mana Saya Nak Tengok Contoh NAP Ini?

Kami tunjukkan dibawah bagaimana proses bakal pelanggan mencari produk atau servis.

Contoh yang kami berikan dibawah adalah contoh menggunakan Facebook dan Google Maps, dua platform utama apabila pengguna mencari solusi dalam bentuk produk atau servis.

Proses Mencari Solusi Produk Atau Servis di Facebook

apa itu NAP #01 search button di facebook

Ramai orang yang mencari menggunakan butang ‘search’ di Facebook ini.

Solusi yang mereka boleh jumpa boleh jadi dalam bentuk post, Facebook Group atau Page.

apa itu NAP #02 cadangan search di facebook

Cara minda pengguna berfungsi apabila nak mencari satu-satu solusi, mereka nak solusi yang paling cepat atau dekat dengan mereka.

Pengguna akan taip “nama servis atau produk  tambah “nama tempat”.

Contoh diatas adalah pengguna yang nak servis kereta di kawasan Puchong, Selangor. Jadi mereka akan taip “servis kereta” dan “puchong”.

Apabila mereka taip, cadangan carian akan muncul, dan Facebook Page yang paling tepat dengan apa yang mereka cari akan dipaparkan terus disini.

apa itu NAP #03 hasil carian di facebook

Anda boleh lihat disini kedai yang mempunyai hasil yang paling menepati apa yang dicari oleh Facebook sebagai enjin carian, akan muncul di tempat pertama.

Perhatikan yang kami gariskan dengan warna merah.

Di garisan itu, anda lihat “cars” sebagai kategori kedai, “4.9 out of 5” sebagai rating kedai tersebut, dan “6K like this” sebagai jumlah pengguna yang like kedai ini.

Kita mahu fokuskan pada kategori yang tepat dan rating yang tinggi supaya bisnes kita muncul di tempat pertama bila pengguna cari servis atau produk yang berkaitan.

apa itu NAP #04 page di facebook

Lihat gambar diatas. Kedai ini mendapat rating 4.9 per 5 daripada 47 orang yang meletakkan review mereka berkaitan servis kedai ini.

Sebagai pemilik bisnes, anda juga perlu berfikir didalam kerangka minda pengguna; apabila pengguna nak cari kedai dan mereka dah jumpa, apa yang mereka cuba cari?

  1. Apa yang bisnes tersebut tawarkan.
  2. Boleh percaya ke bisnes ni? Ada orang lain dah pergi?
  3. Kedai ni dekat mana? Dekat ke?
  4. Boleh hubungi terus ke?
apa itu NAP #05 NAP yang salah di facebook

Disini adalah elemen utama NAP akan terpapar. Setelah bakal pelanggan nampak servis utama yang anda tawarkan dan nama kedai anda, maklumat-maklumat seperti alamat dan nombor telefon adalah apa yang perlu anda tunjukkan disini.

Didalam gambar diatas, kami dapati ada kesilapan, dimana pemilik kedai ini meletakkan alamat kedai beliau didalam deskripsi servis yang beliau tawarkan.

Seharusnya pemilik kedai meletakkan alamat kedai beliau didalam ruang alamat didalam setting Facebook Page beliau.

Didalam situasi pelanggan, mereka mahu cepat, dan Facebook Page serta Google Maps menawarkan fungsi untuk terus ke kedai anda jika alamat anda diletakkan di ruang alamat berserta koordinat yang tepat.  

apa itu NAP #13 senarai servis facebook page

Kedai ini menyenaraikan pelbagai servis yang ditawarkan mereka. Jika servis kedai anda mempunyai banyak pilihan, anda boleh menyenaraikan servis-servis atau produk-produk yang popular sahaja untuk mengelakkan kekeliruan pada pihak pelanggan.

apa itu NAP #06 senarai review di facebook page

Bahagian seterusnya yang bakal pelanggan akan lihat adalah review. 

Adakah orang yang mengunjungi kedai ini berpuas hati dengan servis yang diberikan?

Adakah ramai orang mempunyai pengalaman yang sama apabila berurusan dengan kedai ini?

Di zaman digital kini, kita lebih mudah mencari maklumat melalui sumber-sumber seperti Facebook dan Google. Kita tidak lagi bergantung sepenuhnya pada ahli keluarga ataupun rakan-rakan untuk bertanya apabila mahu mendapatkan sesuatu servis atau produk. 

Kini, testimoni dan review menjadi elemen utama dalam membuat keputusan dalam mendapatkan sesuatu servis atau produk.

Proses Mencari Solusi Produk Atau Servis di Google Maps

apa itu NAP #08 button search di google maps

Google Maps juga menjadi tempat rujukan utama dalam mendapatkan sesuatu servis atau produk di Malaysia. 

Bakal pelanggan boleh mencari pelbagai jenis produk dan servis melalui ruangan search yang terdapat di dalam Google Maps.

apa itu NAP #09 cadangan carian di google maps

Apabila seorang bakal pelanggan mahu mencari sesuatu servis atau produk, Google Maps akan memberi cadangan bisnes yang menepati kehendak orang tersebut berdasarkan lokasi dan jenis servis yang ditawarkan. 

Lokasi yang dicadangkan adalah berdasarkan lokasi bisnes yang terdekat dengan bakal pelanggan tersebut, KECUALI jika bakal pelanggan itu mahu mendapat servis atau produk di satu tempat yang spesifik seperti contoh diatas.

Jika anda menawarkan ‘baju melayu’ ataupun ‘servis kereta’, carian yang diberikan didalam Google Maps adalah senarai yang terdekat dengan bakal pelanggan tersebut.

apa itu NAP #10 senarai hasil carian di google maps

Carian teratas apabila seseorang mencari servis atau produk, adalah iklan oleh bisnes yang menggunakan Google Ads untuk beriklan.

Untuk iklan, mereka tidak semestinya akan menunjukkan hasil terdekat seperti didalam contoh gambar diatas.

Petak merah yang kedua menunjukkan bisnes yang paling relevan dengan apa yang dicari pengguna, berdasarkan:

  • Lokasi pengguna
  • Nama bisnes dan servis yang ditawarkan
  • Rating tinggi berdasarkan review yang diberi kepada bisnes tersebut
apa itu NAP #11 listing di google maps

Apabila kita klik pada senarai bisnes tersebut, kita boleh lihat lokasi, nombor yang boleh dihubungi, dan maklumat-maklumat lain yang membantu bakal pelanggan membuat keputusan, seperti:

  • Jarak perjalanan dari lokasi bakal pelanggan ke lokasi bisnes tersebut.
  • Waktu operasi bisnes.
  • Senarai servis, review dan gambar-gambar yang berkaitan dengan servis tersebut.
apa itu NAP #12 review di google maps

Bakal pelanggan boleh melihat review yang ditinggalkan oleh pelanggan-pelanggan kedai tersebut sebelum ini. 

Jika kedai tersebut mempunyai banyak review yang memuji dan memberikan respon yang bagus, kemungkinan untuk bakal pelanggan untuk mendapatkan servis dengan bisnes tersebut adalah tinggi.

Ada Masalah Ke Kalau Saya Tak Buat NAP Ini?

Masalah yang kerap kali kami lihat apabila satu-satu bisnes yang mempunyai lokasi fizikal seperti kedai yang disewa, tidak melakukan NAP dengan tepat, adalah mereka kehilangan potensi ramai pelanggan baru yang boleh didapati secara PERCUMA.

Kini, ramai menyedari keberkesanan dan efektif apabila melakukan iklan digital seperti Facebook Ads, Instagram Ads dan Google Ads.

Akan tetapi, ramai tidak menyedari bahawa apabila anda berbelanja untuk iklan digital, terdapat satu kos yang perlu dikira yang tidak berapa popular.

Kos tersebut adalah kos mendapatkan pelanggan (customer acquisition cost, CAC).

Jika anda berbelanja RM5,000 sebulan untuk mendapatkan 100 orang pelanggan, bermakna kos mendapatkan seorang pelanggan adalah RM50. 

Kos ini adalah salah satu penanda aras asas apabila anda mendapat purata jualan yang lebih rendah dari RM50 dari seorang pelanggan, bermakna bisnes anda sedang rugi perlahan-lahan.

Walhal, anda boleh mendapatkan pelanggan secara PERCUMA dengan menggunakan NAP dengan betul melalui Facebook Page dan Google Maps.

Anda tidak mengeluarkan sebarang kos apabila membuat Facebook Page atau pun senarai di Google Maps (melalui Google Business Profile).

Pelanggan juga lebih mempercayai anda berdasarkan review yang ditinggalkan oleh pelanggan-pelanggan anda sebelum ini.

Facebook dan Google juga lebih suka menyenaraikan bisnes yang mempunyai rating yang bagus, review yang banyak, dan maklumat yang tepat yang digemari para pelanggan. 

Anda akan dapat kelebihan yang lebih berbanding bisnes-bisnes lain, kerana tidak ramai yang mengaplikasikan NAP dengan tepat.

Di Mana Nak Aplikasikan NAP Ini?

NAP boleh diaplikasikan didalam tempat-tempat berikut:

Facebook Page

NAP terdapat dibahagian maklumat asas Facebook Page.

apa itu NAP #05 NAP yang salah di facebook

Google Maps (melalui Google Business Profile)

Anda boleh menggunakan Google Business Profile Manager untuk menyenaraikan bisnes anda didalam Google Maps.

apa itu NAP #15 google business profile

Laman web dan Landing Page 

Di bahagian footer pada satu-satu laman web atau landing page.

apa itu NAP #14 footer NAP

Penutup

Kami berharap anda mendapat manfaat daripada perkongsian berkenaan NAP didalam artikel kali ini. 

Kami akan kongsikan lagi pelbagai tips dimasa hadapan untuk memaksimakan keuntungan anda dalam perniagaan melalui pelbagai strategi digital marketing yang berkesan.

Leave a comment